Monday, February 9, 2009

Terkejut terima set barang kemas
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my



Pasangan ini menerima set barang kemas mencecah RM100,000 sempena menyambut ulang tahun perkahwinan pertama dan ianya disampaikan sehari sebelum majlis makan malam Tahun Baru Cina, Rafflesia dan Mandalay. Majlis berlangsung di Grand Sultan's Ballroom, Le Meridien Hotel, Ahad (1 Februari) lalu.

Ia berlangsung dengan meriah dihadiri penghibur bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak, Siti Shahrizah (Eja), Nasha Aziz, Lis Dawati dan suami, Fauzi Nawawi; Pushpa Narayan, juara One In A Million; Suki Low, Syafinaz Selamat dan Vanidah Imran bersama suami, Rashidi Ishak.

Ning berkata, dia terkejut dengan hadiah diberikan Winnie dan menganggap ia pemberian sangat berharga daripada seorang rakan.

"Sebelum hadir di majlis ini, saya sempat bertemu dengan Winnie bagi melihat barang kemas yang mahu ditaja dan digayakan di majlis dianjurkan. Sedang leka membelek, tiba-tiba dia membawa keluar satu kotak aksesori dan katanya ini untuk kami berdua.

"Saya terkejut seperti tidak percaya. Sempat juga saya berkata pada Winnie tidak perlulah hadiah mewah itu diberikan kepada kami tetapi dia berkeras dengan alasan sewaktu majlis perkahwinan kami dia tidak dapat hadir.

"Sebagai membalas rasa bersalah, dia mahu kami menerima pemberian itu. Saya terharu menerima set barang perhiasan mutiara asli berupa subang, rantai dan cincin sementara Omar menerima kafling," katanya.

Dalam pada itu, Ning sempat bercerita mengenai sambutan ulang tahun perkahwinan pertamanya. Kata penyanyi yang bakal membintangi filem Magica memegang watak Puteri Gunung Ledang, dia menghabiskan masa bersama suami di Melaka pada 31 Januari lalu.

"Apa yang kami lakukan itu amat menyeronokkan. Kami pergi tidak lama iaitu satu hari satu malam. Di sana kami banyak menghabiskan masa dengan melawat tempat-tempat bersejarah.

"Rasa seronok sebab saya sudah lupa banyak perkara mengenai sejarah kesultanan Melayu di Melaka dan penjajahan Portugis. Jadi apabila ke sana, saya dapat mengingatkan kembali apa yang pernah dipelajari sebelum ini.

"Pada suami pula dia akan lebih mengenali sejarah negara isterinya. Omar seronok kerana banyak tempat bersejarah dan menarik boleh dilawati di Malaysia sebenarnya. Pada kami ia boleh dikatakan bulan madu kedua," katanya.

Mengenai hadiah diterima daripada suami, jelas Ning budaya sambutan menyambut ulang tahun perkahwinan masyarakat di barat dan timur berbeza.

"Kalau hendak diikutkan, sebenarnya orang kita mana hendak sambut ulang tahun perkahwinan dan hari jadi kerana ia bukan budaya kita. Pada malam ulang tahun perkahwinan kami, Omar membuatkan saya menangis.

"Hadiahnya tidak memerlukan wang yang banyak tetapi perlu berusaha keras dan itu yang membuatkan saya sangat terharu. Mengikut budaya di barat, pada ulang tahun pertama mereka perlu memberikan hadiah berupa kertas dan tidak kira apa bentuknya.

"Hendak tahu apa yang Omar lakukan, dia menghasilkan buku kolaj yang menampilkan 100 keping gambar kami sebanyak 20 muka surat yang dikumpul dari zaman kami mula berkenalan, bertunang, berkahwin dan hinggalah sekarang.

"Saya pula rasa bersalah kerana tidak sempat menyediakan apa-apa hadiah kerana dalam waktu sama sedang sibuk dengan kerja-kerja rakaman single terbaru dan undangan mengadakan persembahan. Namun saya tebus kembali dengan percutian ke Melaka," katanya.

Sementara itu majlis makan malam Rafflesia dan Mandalay sempena perayaan Tahun Baru Cina, Winnie turut menjemput penghibur popular dari Hong Kong, Maria Cordero untuk menghiburkan tetamu.

Katanya, majlis diadakan pada malam itu bagi menghimpunkan dan meraikan rakan rapatnya yang banyak menyokong perniagaan dilakukan termasuk teman artis.

"Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, sambutan tahun baru ini ibarat menyambut hari jadi setiap hari. Kerana itu saya turut memanggil semua rakan pada malam itu.

"Di samping meraikan teman-teman saya turut memperkenalkan koleksi terbaru barangan perhiasan Mandalay Jadette dan Rubbies. Lagipun masyarakat Cina percaya bahawa batu jade membawa tuah dan untuk itu penting bagi mereka mempunyai paling tidak seutas gelang diperbuat daripada batu jade," katanya.

Kehadiran Maria dan Anita mahupun Ning yang tampil menghiburkan tetamu pada malam itu tidak dibayar sebaliknya mereka datang untuk bersama-sama menyambut Tahun Baru Cina.

"Mereka ini sudah saya anggap teman rapat, malah Maria yang saya mula kenali sewaktu menjayakan konsert Diva Asia empat tahun lalu masih terus berhubungan, kerana itu saya mahu dia hadir di malam majlis istimewa yang saya adakan ini," katanya.

Malam itu selain artis popular ini menggayakan koleksi berang kemas menarik dari Rafflesia dan Mandalay, pakaian mereka turut direka khas oleh Carven Ong, Bill Keith, Alvin Tay dan Michael Shu.

No comments: