Thursday, February 12, 2009

:: 31 hadiah berbeza buat Omar ::



Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MANIS alam rumah tangga yang setahun dikecapi membuatkan Ning Baizura Hamzah begitu bahagia menjadi suri kepada lelaki Inggeris, Omar Shariff Christopher Layton Dalton.

Tanggal 31 Januari lalu, pasangan yang diijabkabulkan di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2008 itu meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Mengungkap keindahan bahtera perkahwinan yang dilalui selama 365 hari dengan lelaki pilihannya itu, Ning dan Omar menghabiskan tarikh bersejarah itu di lokasi yang istimewa di hati mereka iaitu Melaka.

“Melaka begitu dekat di hati kami. Mengunjunginya seolah membawa kami kembali ke asal usul dan itu yang membuatkan saya dan Omar sepakat memilih untuk meraikan ulang tahun pertama perkahwinan kami di sini.

“Kebiasaannya kita orang Melayu akan meraikan tarikh bermakna dengan mengadakan kenduri kesyukuran. Bagaimanapun, kami berdua cuba lari daripada kebiasaan itu dan memilih untuk mengikut tradisi orang Inggeris.

“Daripada pembacaan, tahun pertama perkahwinan mereka akan memberikan hadiah dalam bentuk kertas. Justeru, apa lagi yang bersesuaian selain menempah hotel untuk kami mengimbas semula detik manis sepanjang setahun menempuh gerbang perkahwinan.

“Saya berterima kasih kepada kakak Omar yang memberikan buku menceritakan bagaimana untuk meraikan ulang tahun perkahwinan,” katanya yang menginap di Hotel Majestic, malah turut membawa Omar melawat pelbagai lokasi bersejarah di bandar raya itu ditemani pemandu pelancong berpengalaman.

Sebagai anak tempatan, kata Ning, ada ketika kita lupa akan keindahan negara sendiri dan mengunjungi Melaka membawanya mengimbas sejarah silam yang selama ini jarang dipedulikan.

Biarpun kunjungan itu hanya sehari kerana malamnya, Ning dan Omar terpaksa bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan makan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Rafflesia dan Mandalay, namun pengalaman itu cukup bermakna buat mereka berdua.

Malah kata Ning, kesempatan itu turut diambil dia serta suaminya untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada insan yang banyak membantu melicinkan majlis perkahwinan mereka tahun lalu.

“Kami sempat menghubungi Datuk Faridah Hashim, Juita Jalil dan Datuk Ibrahim Saad serta beberapa orang lain untuk menyatakan penghargaan atas kerja keras mereka pada persandingan kami tahun lalu.

“Jasa mereka semua tidak terbalas dan apa yang termampu saya serta suami lakukan adalah menghubungi mereka untuk mengucapkan terima kasih,” katanya.

Mengimbas tahun pertama melayari kehidupan suami isteri, Ning berkata, masa berjalan terlalu pantas tanpa mereka sedari.

Akui penyanyi yang popular dengan lagu Curiga itu, beberapa hari menjelang sambutan ulang tahun perkahwinan, dia terlalu sibuk hingga terlupa untuk membeli hadiah kepada suaminya.

“Saya terikat dengan tugasan sebagai pelatih vokal peserta One In A Million dan dalam seminggu, saya perlu bersama mereka untuk tiga sesi latihan. Ketika pulang ke rumah tengah malam 30 Januari lalu, saya rasa bersalah sangat apabila Omar memberitahu dia ada sesuatu untuk diberikan.

“Hadiahnya cukup istimewa iaitu rakaman gambar kenangan kami berdua dari detik awal perkenalan di Bali hingga terbaru. Dia melakukannya diam-diam tanpa saya sedari.

“Saya agak tersentuh kerana semua foto itu menyimpan memori indah yang kami berdua lalui. Untuk menebus kesilapan itu, saya membelikannya 31 hadiah berbeza termasuk pakej penginapan hotel dan spa.

“Patutlah sebelum ini Omar sering mengusik akan memberikan kertas A4 untuk hadiah ulang tahun perkahwinan kami. Rupanya dalam diam dia menyiapkan sebuah koleksi istimewa untuk kami berdua hargai,” kata Ning, terharu dengan kesungguhan suaminya menyiapkan hadiah itu dibantu keluarga mereka berdua.

Ning juga berterima kasih kepada Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin dan suaminya yang menghadiahkan dia dan Omar koleksi aksesori dan kafling diperbuat daripada mutiara merah jambu Laut Selatan.

“Hadiah mereka cukup mengejutkan membuatkan saya dan Omar agak berat untuk menerimanya. Mereka suami isteri sangat pemurah dan saya akan sentiasa menghargai kerana koleksi ini sangat jarang ditemui,” katanya.

Ning berkata, selepas setahun melayari bahtera rumah tangga dia berharap akan dikurniakan Tuhan cahaya mata sebagai penyeri kehidupan mereka berdua.

Masih aktif untuk pastikan nama tidak tercicir

BIARPUN tidak banyak yang diperkatakan mengenai aktiviti seninya, namun Ning masih aktif meneruskan pelbagai perancangan untuk memastikan namanya tidak tercicir.

Bakal kembali ke set penggambaran untuk filem muzikal, Magika membawakan watak Puteri Gunung Ledang, Ning berkata, dia begitu teruja membawakan peranan itu walaupun hanya diberikan watak kecil.

“Karektor yang diberikan sangat signifikan kerana saya cuba mencari penawar untuk terus bertahan cantik walaupun sudah berusia.

“Lebih membuatkan saya tenggelam dalam karakter itu apabila ditawarkan merakamkan lagu Asal Menjadi Cantik. Lagu itu menjadi simbolik kepada karektor yang saya mainkan,” katanya.

Ketika ini, kata Ning, dia juga sedang merangka promosi untuk beberapa single yang dirakamkan termasuk menjayakan kolaborasi untuk lagu Altimet, Mimpi.

Akui Ning, kegawatan industri muzik terutama dari segi penjualan album secara fizikal membuatkan dia lebih terarah untuk menghasilkan single.

Dua lagu sudah dirakamkan iaitu Melankolia dan Embunan Bersinar cukup untuk membuatkan Ning kembali aktif dengan pelbagai aktiviti promosi.

“Saya sudah bersedia untuk kembali turun padang. Semua perancangan saya tentukan sendiri membuatkan saya begitu komited untuk memastikan usaha ini berjaya,” katanya.

Pada masa sama, Ning bersama suaminya akan melancarkan koleksi pakaian lelaki, Stunning by Ning Baizura untuk lelaki bertubuh besar yang sukar mendapatkan pakaian di pasaran.

No comments: