Sunday, February 8, 2009

:: Ning @ Rafflesia CNY Gala Dinner ::



Tradisi glamor Rafflesia

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

PERAYAAN Tahun Baru Cina masih diraikan dan menambahkan lagi kehangatannya, Jewellery Circles Sdn. Bhd., yang sinonim dengan barangan kemas Rafflesia serta Mandalay menganjurkan Malam Gala Tahun Baru dengan menghimpunkan barisan selebriti ternama.

Tampil dengan konsep serba mewah dan berprestij, antara selebriti yang hadir di majlis yang berlangsung di Hotel Le Meredien, Kuala Lumpur itu ialah Anita Sarawak, Ning Baizura, Nasha Aziz, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Eja, Suki, Syafinaz Selamat, Pushpa Narayan, Winnie Kok dan Xandria Ooi.

Namun, seperti biasa, apa sahaja majlis yang dianjurkan oleh Jewellery Circles, ia bagaikan tidak lengkap andai tidak disertakan dengan pameran koleksi-koleksi terkini Rafflesia atau Mandalay.

Untuk itu, pada malam gala berkenaan, 12 selebriti dipilih untuk menggayakan koleksi jed Mandalay sempena Tahun Baru Cina yang keseluruhannya dianggarkan melebihi RM4 juta.

Selebriti berkenaan terdiri daripada Anita Sarawak yang bergaya dengan gelang tangan jed berharga RM688,000 diikuti Maria Cordero, Pushpa Narayan, Levy Li dan Nasha Aziz yang tidak kalah menyarung gelang berharga RM488,000.

Selebriti lain, Ning Baizura yang baru menyambut ulang tahun pertama perkahwinan pula menggayakan gelang berharga RM388,000 manakala Eja (RM288,000), Rachel Tan (RM188,000), Soo Wincci (RM168,000), Jolene Chin (RM138,000) dan Syafinaz Selamat serta Fadzlun (RM98,800).

Menurut Pengarah Jewellery Circles, Winnie Sin, majlis yang akan dijadikan kalendar tahunan syarikat itu tidak lebih sekadar meraikan Tahun Baru Cina.

Namun, jelasnya, dengan kehadiran kira-kira 250 orang jemputan, ia pastinya saat yang bersesuaian untuk mempromosikan produk-produk keluaran Jewellery Circles dari Rafflesia dan Mandalay.

"Sememangnya setiap tahun saya tidak ketinggalan untuk meraikan Tahun Baru Cina. Tetapi, kali ini kami anjurkan malam gala untuk menguatkan lagi strategi promosi.

"Dengan memilih selebriti untuk menyarung gelang tangan jed manakala selebriti lain pula dihiasi aksesori lain, ia sedikit sebanyak mampu mengukuhkan lagi jenama Rafflesia serta Mandalay," katanya.

Selain acara karpet merah, pertunjukan tarian singa dan makan malam, Malam Gala Tahun Baru Cina Rafflesia, Mandalay turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Anita Sarawak, Maria Cordero dan Syafinaz Selamat.

Juara Sehati Berdansa musim kedua, Lisdawati dan suami, Fauzi Nawawi tidak ketinggalan mempersembahkan tarian Ballroom kepada tetamu.

Ujar Winnie, tetamu yang diundang untuk memeriahkan malam gala berkenaan terdiri daripada rakan-rakannya, pelanggan setia serta selebriti yang telah banyak membantu usaha-usaha promosi Rafflesia dan Mandalay selama ini.

Ditanya mengenai kehadiran penyanyi Maria Cordero dari Hong Kong, Winnie menjelaskan, penyanyi tersebut merupakan rakan baiknya.

"Kami berkenalan ketika Rafflesia menjadi antara penaja konsert 4 Asian Divas Live in Genting pada tahun 2006. Maria merupakan antara empat diva yang menjayakan konsert itu.

"Sejak saat itu, kami mula berkawan baik dan saya amat terharu dengan kedatangannya ke sini,'' jelasnya.

Kepada satu soalan mengenai senario ekonomi yang dijangka lembap di Tahun Lembu, Winnie berkata, dia tidak mahu memandangnya di sudut yang negatif.

"Kita tidak boleh fikir yang tidak elok. Apa saja jangkaan atau ramalan, kita perlu berusaha keras untuk terus maju. Setakat ini, perniagaan kami berjalan baik tanpa sebarang masalah," tambahnya.

No comments: