Thursday, March 19, 2009

:: URTV raikan setiausaha bersama Ning ::

PUTRAJAYA 18 Mac - Majalah hiburan sensasi, URTV terbitan Utusan Karya akan menganjurkan Minggu Setiausaha bersama Ning Baizura di Hotel Pulmann Putrajaya Lakeside pada 23 April ini.

Sekumpulan setiausaha bersama bos masing-masing akan dihiburkan oleh penyanyi terkenal tanah air itu selama setengah jam sekali gus meraikan pembukaan hotel baru tersebut.

Pengurus besar hotel berkenaan, Patrick Sibourg berkata, pelbagai hadiah menarik menanti tetamu seperti tiket penerbangan ke Bangkok dan Bali selain hadiah penginapan di hotel tersebut.

''Tetamu akan turut dihidangkan dengan pelbagai hidangan istimewa bertemakan makanan Barat yang pastinya memenuhi selera mereka," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ning di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ning berkata, sebanyak tujuh buah lagu akan didendangkan termasuk lagu Medley Saloma selain lagu terbaru dari album terkini beliau.

''Ini merupakan satu tanggungjawab besar diberikan kepada saya untuk menghiburkan tetamu di sini dan saya cukup terharu kerana saya menjadi pilihan penganjur.

''Saya menganggap ini rezeki saya walaupun ekonomi agak gawat waktu ini. Ini juga jemputan kedua saya selepas sebuah lagi hotel di luar Kuala Lumpur," katanya.

Seramai 250 setiausaha bersama bos masing-masing dijangka hadir pada Minggu Setiausaha itu di samping penampilan artis istimewa pada malam itu.

Para majikan daripada pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan dijemput meraikan Minggu Setiausaha ini sebagai menghargai sumbangan setiausaha mereka.

Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8890 0302 atau 8890 0403.

No comments: